top of page
lawsocietyum

Ribut Hasutan : Razali Idris Didakwa di Pertengahan Kegemparan Politik dan Undang-Undang

"Once a government is committed to the principle of silencing the voice of opposition, 

it has only one way to go, and that is down the path of increasingly repressive measures."


Harry S. Truman, 33rd President of the United States


Persatuan Undang-Undang Universiti Malaya (UMLS) ingin menyuarakan kerisauan kami terhadap pertuduhan menghasut baru-baru ini yang ditujukan terhadap ahli politik pembangkang, Razali Idris (ADUN Kijal) pada 24 November 2023 setelah beliau didakwa membuat kenyataan yang berbaur hasutan mengenai badan kehakiman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa pelancaran jentera pilihan raya Perikatan Nasional bagi pilihanraya kecil Kemaman pada 2 Disember 2023.


Oleh itu, berikutan kemarahan dan kegelisahan yang melanda hati rakyat Malaysia serta implikasinya terhadap politik Malaysia dan landskap perundangan yang lebih luas, UMLS berhasrat untuk mengemukakan pandangan kami berkaitan isu ini dari sudut perundangan akademik. UMLS ingin menggesa pihak kerajaan agar mempercepatkan proses pembaharuan yang dicadangkan dalam manifesto mereka dengan memansuhkan Akta Hasutan 1948 demi melindungi kebebasan bersuara. 


Gambaran Keseluruhan

Datuk Razali Idris, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, telah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan berhubung Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).



Semasa ucapannya di pelancaran jentera pilihan raya Perikatan Nasional, Datuk Razali didakwa merujuk kepada seorang individu tidak dinamakan yang menghadapi 47 pertuduhan (berkemungkinan merujuk kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang dilaporkan menerima pelepasan bersyarat). Beliau kemudiannya membuat satu perbandingan dengan sabitan baru-baru ini terhadap Presiden MUDA, YB Syed Saddiq Abdul Rahman yang didapati bersalah atas kesalahan pecah amanah jenayah (CBT), penyelewengan dan pengubahan wang haram. Dengan membandingkan kedua-dua peristiwa ini, Datuk Razali menyimpulkan bahawa kerajaan memegang pengaruh ke atas kedua-dua SPRM dan badan kehakiman. 


Disebabkan Datuk Razali didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, beliau berpotensi untuk didenda sehingga RM5,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Hakim N Priscilla Hemamalini membenarkan Datuk Razali diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak membuat sebarang hantaran atau komen berhubung kes ini sehingga selesai dan menetapkan 8 Dissember untuk sebutan semula kes.


Kontroversi


Pertuduhan menghasut terhadap ahli politik pembangkang, Datuk Razali Idris telah menimbulkan kontroversi yang rumit, mencerminkan pengaruh salingan antara isu perundangan, politik dan sosial yang kompleks di Malaysia. Walaubagaimanapun, pokok persoalan isu ini terletak pada cara Akta Hasutan telah digunakan untuk menindas perbezaan pendapat politik dan menyekat kebebasan bersuara di bawah Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan. Hal ini disebabkan oleh peruntukan yang terlalu luas dan kabur yang membolehkan hampir mana-mana pernyataan kontroversi dilabel sebagai hasutan.


Pentafsiran yang sempit sepertimana yang diterima pakai di dalam kes Wan Ji bin Wan Hussin lwn Pendakwa Raya [2023] MLJU 2383 di mana pihak pendakwaan hanya perlu menunjukkan bahawa terdapatnya risiko tindak balas yang negatif dan bukannya risiko sebenar keganasan telah menetapkan ambang yang terlalu rendah bagi memulakan pendakwaan jenayah dan mengenakan penalti. Sebaliknya, sebilangan besar entiti antarabangsa, serantau dan kebangsaan teguh pendirian bahawa pendakwaan kesalahan berkaitan ucapan memerlukan risiko keganasan yang jelas dan nyata, satu kriteria yang secara terang-terangan gagal dipenuhi oleh Akta Hasutan.


Dalam suatu masyarakat demokratik, perselisihan pendapat dalam pelbagai isu, termasuk yang menyebabkan perbalahan, hendaklah tertakluk kepada perdebatan dan perbincangan secara terbuka dan bukannya paksaan untuk berdiam diri. Kerajaan yang matang dan demokratik bertindak balas terhadap kritikan secara terbuka, bukan memilih untuk memenjarakan pengkritik. Memandangkan kerajaan perpaduan telah berulang kali menjamin bahawa Akta Hasutan yang bercirikan penindasan itu akan dimansuhkan, pendakwaan terhadap Razali Idris di bawah Akta ini oleh AGC membawa kepada beberapa persoalan.


Pendirian


Pada pilihan raya sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) berkali-kali berjanji untuk memastikan pemansuhan Akta Hasutan yang bersifat menindas dan kejam sebaik sahaja mereka memegang jawatan. Walaubagaimanapun, keputusan Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa Razali Idris di bawah Akta ini secara terang-terangan bercanggah dengan jaminan kerajaan sendiri. Penggunaan Akta Hasutan sebagai satu alat politik terhadap Perikatan Nasional dan penyokong mereka yang mencerminkan penggunaannya sebelum ini terhadap PH dan pihak lawan politik, adalah tidak wajar. Prinsip ini tidak seharusnya beralih hanya kerana parti politik berbeza menerajui kerajaan kini. 


Ironinya, ramai pemimpin pembangkang yang kini menyandang jawatan kerajaan merupakan mangsa pentadbiran terdahulu. Adalah menyayat hati apabila Timbalan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh, menerangkan dalam temu bual BFM pada Mac yang lalu bahawa pihak kerajaan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk memansuhkan Akta Hasutan buat masa ini, walaupun kemungkinan itu tidak ditolak sepenuhnya. Dalam kata-kata Lord Neuberger, bekas Presiden Mahkamah Agung UK, sebagaimana yang dinyatakan dalam Kuliah Memorial Tom Sargant 2013 beliau, “The more power a government possesses, the more likely abuses and excesses leading to injustice occur. Therefore, it becomes crucial for the rule of law that such abuses and excesses can be brought before an impartial and experienced judge who can address them openly, dispassionately, and fairly.”


Walaupun pihak kami menyedari bahawa undang-undang ini mungkin dianggap perlu untuk menangani isu kenyataan perkauman dan agama yang berbaur hasutan yang semakin berleluasa, bahasanya yang terlalu luas meninggalkan ruang untuk penyalahgunaan memandangkan kekaburan yang wujud. Pembetulan segera melalui pemansuhan adalah penting. 


Semasa proses pemansuhan, kerajaan sewajarnya melaksanakan moratorium ke atas semua penyiasatan dan pendakwaan di bawah Akta Hasutan. Ini akan menegakkan keadilan, mencegah persepsi pilih kasih, dan menonjolkan komitmen kerajaan dalam memelihara integriti dan berpegang pada dasar yang dinyatakan. 


Ia adalah mustahak bagi perundangan tersebut untuk menjalani penyesuaian yang menyelaraskannya dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, satu syor yang telah lama diperjuangkan oleh ahli-ahli pakar bebas daripada Majlis Hak Asasi Manusia PBB. Kerajaan mesti mempamerkan kematangan dengan bersikap terbuka kepada percanggahan pendapat dan dialog demi kepentingan bersama dalam memupuk tadbir urus yang lebih mantap. Pemansuhan Akta Hasutan pada 1948 akan menyumbang kepada kemajuan dan pembudayaan landskap politik yang lebih berdaya tahan dan pluralistik. 


Memetik kata-kata bekas Ketua Hakim Negara, Raja Tun Azlan Shah, Every legal power must have legal limits, otherwise, there is dictatorship.”


Klausa Penafian:

Sebarang kandungan dan pendapat yang dikemukakan dalam kenyataan ini tidak semestinya menggambarkan kedudukan rasmi Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya dan Universiti Malaya masing-masing. Persatuan Undang-Undang Universiti Malaya juga hanya memilih beberapa isu penting untuk dihuraikan dan ini tidak semestinya memberikan gambaran keseluruhan berkenaan kejadian tersebut. Persatuan Undang-Undang Universiti Malaya hanya berhasrat untuk memberikan pandangan kolektif kami melalui isu ini dari perspektif undang-undang akademik.


Persatuan Undang-Undang Universiti Malaya (UMLS) 23/24

28 November 2023

Comments


bottom of page