“To show men that crimes can be pardoned, and that punishment is not their inevitable consequence, encourages the illusion of impunity."
Cesare Beccaria, Ahli falsafah Itali
Persatuan Undang-Undang Universiti Malaya (UMLS) ingin menyuarakan kebimbangan kami terhadap pengumuman Lembaga Pengampunan baru-baru ini yang bersetuju untuk memberikan pengampunan separa kepada bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak, berikutan sabitan Mahkamah Persekutuan dalam Kes SRC International. Pengumuman keputusan ini, tanpa sebarang penjelasan awam, akan menyaksikan hukuman penjara 12 tahun serta denda sebanyak RM 210 juta masing-masing dikurangkan kepada 6 tahun dan RM50 juta.
Oleh itu, berikutan kemarahan dan kegelisahan yang melanda hati rakyat Malaysia serta implikasinya terhadap politik Malaysia dan landskap perundangan yang lebih luas, UMLS berhasrat untuk mengemukakan pandangan kami berkaitan isu ini dari sudut akademik. UMLS ingin menggesa Lembaga Pengampunan untuk mendedahkan rasional di sebalik keputusan mereka untuk memberikan pengampunan separa. Hal ni adalah selaras dengan ikrar kerajaan MADANI untuk menegakkan ketelusan dan akauntabiliti. Kesannya, keyakinan rata-rata masyarakat Malaysia terhadap keupayaan sistem undang-undang kita untuk melaksanakan keadilan dapat dikukuhkan.
Gambaran Keseluruhan
Dato' Seri Najib Tun Razak (“Najib”), mantan Perdana Menteri Malaysia dari tahun 2009 hingga 2018, disabitkan atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang haram berhubung RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Walaupun beliau tetap menegas bahawa beliau tidak bersalah sepanjang tempoh prosiding, rayuannya secara konsisten ditolak oleh pihak Mahkamah. Tidak lama selepas memulakan hukumannya di Penjara Persekutuan Kajang, Najib telah memohon pengampunan diraja. Beliau kemudian telah memfailkan satu lagi rayuan pada bulan April 2023.
Secara tradisinya, permohonan pengampunan hanya didengar selepas banduan menjalani satu pertiga daripada hukumannya. Syarat satu pertiga ini, walaupun tidak mandatori, ialah konvensyen yang kebiasaannya dipraktikkan. Konvensyen ini bertujuan untuk menguruskan jumlah permohonan yang akan dipertimbangkan pada satu kali. Namun begitu, kita dapat melihat bahawa konvensyen ini tidak dipatuhi dalam kes Najib dan hal ini membawa kepada kritikan dan tentangan hebat daripada pelbagai pihak. Sebagai contoh, Majlis Peguam telah menegaskan bahawa tokoh awam seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Mokhtar Hashim dan Harun Idris telah menjalani sebahagian besar daripada hukuman mereka sebelum menerima pengampunan diraja. Sebaliknya, Najib telah berada di dalam penjara kurang daripada sebulan sebelum memohon pengampunan. Selain itu, kita juga dapat melihat bahawa tidak ada alasan mendesak yang jelas dikemukakan untuk menjustifikasikan permohonannya disegerakan.
Kontroversi
Ketika menjelaskan asas pertimbangan bagi permohonan pengampunan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan bahawa perjalanan hidup seseorang, pengalaman penjara dan sumbangan kepada negara akan diambil kira. Dalam kes Najib, beliau berhujah bahawa sumbangannya kepada negara merupakan faktor yang penting untuk membolehkan beliau layak mendapat pengampunan.
Sama ada ini kekal sebagai alasan yang sah boleh dipertikaikan. Misalnya, terdapat segelintir peguam yang berhujah bahawa “Tujuan permohonan pengampunan adalah untuk menunjukkan bahawa banduan yang berkaitan layak mendapat pengampunan kerana mereka menerima kesalahan mereka, telah belajar pengajaran mereka dan membuka lembaran baharu. Walau bagaimanapun, tiada satu pun prasyarat penting untuk permohonan pengampunan yang wujud dalam kes Najib”.
Tambahan pula, Majlis Peguam, melalui kenyataan akhbar mereka pada 6 Februari 2024 telah mengkritik pengurangan hukuman yang ketara sebagai tidak seimbang kerana ia tidak mencerminkan tahap keparahan jenayah itu.
Pendirian UMLS
Persatuan Undang-undang UM mengambil maklum bahawa keputusan untuk memberikan pengampunan kekal sebagai prerogatif kedaulatan seperti yang termaktub di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan (Chiow Thiam Guan & Ors. v Superintenden Penjara Pudu & Anor [1983] 1 CLJ 278). Hal ini adalah berdasarkan premis bahawa kuasa pengampunan bukanlah hak undang-undang. Pengampunan hanya bermula di mana hak undang-undang berakhir. Pemberian keputusan adalah suatu fungsi kehakiman. Pelaksanaan penghakiman ialah fungsi eksekutif. Oleh itu, pengurangan hukuman melalui pengampunan merupakan pelaksanaan kuasa eksekutif. Oleh itu, dalam melaksanakan kuasanya, YDPA hanya menjalankan tindakan mengikut budi bicara sepenuhnya berbanding dengan menjalankan fungsi separa kehakiman.
Walaupun Persatuan Undang-undang UM amat menghormati kuasa YDPA untuk melaksanakan prerogatif perlembagaan beliau, namun kami berhasrat untuk menyelidik asas isu ini dari perspektif akademik dengan menggalakkan Lembaga Pengampunan untuk memberikan justifikasi yang komprehensif dalam memutuskan untuk memberikan pengampunan separa kepada Najib. Kami mengakui bahawa proses pengampunan ialah urusan yang sangat sulit dan pengekalan kerahsiaan sedemikian adalah sangat penting. Walau bagaimanapun, memandangkan hal ini melibatkan jenayah kewangan berskala besar yang melibatkan berjuta-juta wang pembayar cukai dan mempunyai kepentingan awam yang besar, kami percaya bahawa artikulasi keputusan yang munasabah akan membantu menghalang ahli politik yang tidak bertanggungjawab daripada mengeksploitasi isu ini untuk mendapatkan mata politik dan dengan itu mengelakkan perbahasan politik yang sia-sia.
Tambahan pula, pendekatan ini mampu menggalakkan pemeliharaan ketelusan dan akauntabiliti. Ketelusan dicapai di sini dengan mendedahkan proses pembuatan keputusan secara lebih jelas dan mudah difahami oleh pihak yang terlibat serta orang awam. Sementara itu, akauntabiliti dijamin dengan mewajibkan pembuat keputusan untuk mengambil tanggungjawab semasa membuat keputusan melalui pemberian justifikasi untuk keputusan mereka. Oleh itu, penyediaan alasan untuk membuat keputusan dalam kes-kes yang menarik minat orang awam dan melibatkan tokoh-tokoh terkemuka adalah penting. Hal ini dikatakan demikian kerana persepsi umum ialah ahli politik sering dapat melepaskan diri daripada akauntabiliti. Keputusan yang wajar dapat mengukuhkan keyakinan orang ramai terhadap integriti sistem perundangan dan menghalang pembuatan keputusan yang sewenang-wenangnya atau aneh.
Secara keseluruhan, kami percaya bahawa penjelasan terperinci oleh Lembaga Pengampunan bukan sahaja akan mencerminkan sifat kredibiliti dalam pentadbiran keadilan, tetapi juga dapat melindungi kepentingan awam daripada kekejaman politik yang bakal timbul sekiranya sesuatu keputusan yang menarik kontroversi dibuat. Dengan berbuat demikian, eksploitasi oleh ahli politik yang memanfaatkan kekaburan isu ini untuk keuntungan mereka dapat dielakkan.
Ringkasnya, kami memetik kata-kata Ashok Bhushan, bekas hakim Mahkamah Agung India bahawa "walaupun keadilan mesti disaluti dengan perasaan belas kasihan, ia tidak boleh digantikan sepenuhnya dengan belas kasihan".
Klausa Penafian:
Sebarang kandungan dan pendapat yang dikemukakan dalam kenyataan media ini tidak semestinya menggambarkan kedudukan rasmi Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya dan Universiti Malaya masing-masing. Persatuan Undang-Undang Universiti Malaya juga hanya memilih beberapa isu penting untuk dihuraikan dan ini tidak semestinya memberikan gambaran keseluruhan berkenaan dengan kejadian tersebut. Persatuan Undang-Undang Universiti Malaya hanya berhasrat untuk memberikan pandangan kolektif kami melalui isu ini dari perspektif undang-undang akademik.
Persatuan Undang-Undang Universiti Malaya (UMLS) 23/24
15 Februari 2024
Emel: lawsocietyum@gmail.com
Laman sesawang: www.umlawsociety.com
Comments